Perlu Kerjasama Lihat Kelemahan Undang-undang, Penyalahgunaan Timbang Tara Kes Tuntutan Sulu – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Tiap negara perlu bekerjasama untuk melihat kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara hasil daripada kes Tuntutan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana ianya bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali kepada negara lain.

Beliau berkata demikian menerusi satu perkongsian di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Kor Diplomatik Eropah semalam.

“Banyak negara mengikuti rapat Tuntutan Sulu dan cara pengendalian kita berdepan dengan kes ini.

“Saya telah berkongsi dengan hadirin tadi mengenai kronologi isu Tuntutan Sulu dan perkembangan dari Madrid baru-baru ini di mana penimbang tara yang terlibat dalam angkara ini, Dr Gonzalo Stampa, telah pun dihukum penjara,” katanya.

Azalina juga berkata pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman pihak luar.

Bertitik tolak dalam pertemuan tersebut beliau mengharapkan diskusi tersebut dapat memberikan manifestasi terbaik bagi memastikan kerjasama dimeterai dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan Malaysia.

“Saya berharap perbincangan hari ini akan menjadi pemula kepada kerjasama dan terbentuknya Kumpulan Kerja antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah dan Malaysia bagi melihat kepada isu-isu timbang tara antarabangsa, termasuklah pembiayaan daripada pihak ketiga, selain amalan terbaik dan kod etika penimbang tara.

“Kerajaan Madani dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dan akan mempertahankan negara daripada apa jua ancaman. Jangan sesekali cabar kedaulatan Malaysia,” ujar beliau.

Baru-baru ini Mahkamah Jenayah Madrid mendapati Stampa yang disifatkan sebagai penimbang tara ‘tidak beretika’ bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan.

Mahkamah Jenayah Madrid juga melarang Stampa daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun kerana secara sedar dan sengaja mengingkari perintah dan keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid.

Azalina menyifatkan ia sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan itu juga akan membantu memelihara kesucian prosiding timbang tara antarabangsa sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.