Penubuhan RCI: Pengajaran Kes Pulau Batu Puteh… Pastikan Kedaulatan Negara Terjamin – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Malaysia perlu memastikan kedaulatan negara terus ditegakkan dan tidak membiarkan tanah air terlepas dengan mengambil iktibar daripada kes Pulau Batu Puteh.

Dalam hal ini Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri, hari ini untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa penubuhan RCI ini adalah untuk belajar agar kesilapan tidak berulang lagi.

“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pemilikan Batu Puteh kepada Singapura kerana berjaya dibuktikan bahawa mereka mempunyai kuasa mentadbir Pulau Batu Puteh itu buat sekian lama terutama sekali dengan adanya rumah api di situ.

“Untuk menuntut semula Pulau Batu Puteh ini telah terlepas sebenarnya sebab dalam perundangan ICJ kita diberi peluang membuat rayuan jika ada penemuan-penemuan baharu dalam masa enam bulan dan juga keputusan penghakiman tersebut terhad kepada tempoh sepuluh tahun,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Terdahulu, pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut Dr Azmi, kes Pulau Batu Puteh ini tidak boleh dikusutkan lagi kerana ia mungkin akan menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara namun ada perkara yang boleh dipelajari.

“Sepuluh tahun itu juga telah lepas kerana ia sepatutnya berakhir pada tahun 2018. Jadi dalam kes ini, jangan kita kusutkan lagi kes Pulau Batu Puteh kerana ICJ telah memberikan keputusan bahawa Batuan Tengah adalah milik kita.

“Tetapi bagi Tubir Selatan belum diputuskan dan ICJ mmutuskan bahawa Tubir Selatan itu perlu dirundingkan oleh kedua-dua buah negara. Saya pasti penubuhan RCI ini bukan untuk menuntut kembali Pulau Batu Puteh tetapi untuk kita belajar daripada kesilapan kita.

“Ia juga bukan untuk Batuan Tengah kerana itu adalah milik kita. Tetapi saya pasti, ini adalah mengenai dengan Tubir Selatan supaya kita bersiap-sedia kerana rundingan sedang berlaku di antara Malaysia dan Singapura,” katanya lagi.

Hari ini dilaporkan bahawa Kerajaan menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.