Tahun Melawat Malaysia: Ahmad Zahid Harap Agensi Bawah KKDW Promosi Produk Buatan Usahawan Desa

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar seluruh agensi di bawah kementeriannya mengambbil peluang untuk mempromosikan produk buatan usahawan desa sempena Tahun Melawat Malaysia.

Jelasnya, beliau melihat Kempen Melawat Malaysia (VM) ini amat ideal untuk sektor pelancongan Malaysia sekaligus bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk desa yang terlibat dalam industri ini.

“Pagi ini, saya hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai peneraju Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), saya melihat Kempen Melawat Malaysia (VM) ini amat ideal bagi sektor pelancongan desa. Inisiatif ini secara tidak langsung akan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk desa yang terlibat dalam industri ini.

“Harapan saya agar semua agensi di bawah kelolaan KKDW dapat mengambil peluang dan melihat peri pentingnya penganjuran Tahun Melawat Malaysia dalam mempromosikan produk buatan usahawan-usahawan desa ini kepada pelancong asing dan juga tempatan yang seterusnya meletakkan industri pelancongan desa sebaris dengan industri lain dalam negara. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang turut dihadiri menteri-menteri dan pegawai kanan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

Mesyuarat jawatankuasa itu khusus bertujuan menyelaras pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan dalam memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan utama dunia menjelang VM2026. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.