Pembangkang ‘Desperado’ Gugat Kestabilan Politik Kerajaan Perpaduan – Azman Azeez

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez yakin dengan apa-apa jua langkah yang dicanangkan oleh pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sudah pasti tiada hasilnya.

Ini kerana katanya, walaupun negara sudah mempunyai Akta Anti Lompat Parti tetapi pembangkang dilihat semakin terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

“Saya yakin segala cubaan atau apa jua langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada tidak akan berjaya kerana kita mempunyai Akta Anti Lompat Parti.

“Perikatan Nasional (PN) semakin hari semakin ‘desperado’ atau terdesak sampaikan ingin cuba menggugat kestabilan politik sedia ada.

“Mereka seharusnya tumpu untuk menjadi pembangkang yang efektif dan berwibawa bagi pihak rakyat serta memberikan pandangan-pandangan yang bernas untuk negara,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling mengharapkan pembangkang menghentikan drama-drama politik dan beri tumpuan menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya berharap sangat pihak pembangkang dapat hentikan drama politik ini dan daripada mereka menggerakkan ‘Langkah Dubai’, lebih baik mengambil langkah yang lebih proaktif untuk tumpu bantu selesaikan masalah rakyat khususnya negeri-negeri yang terkesan teruk akibat bencana banjir.

“Kita sudah tidak mampu untuk berdepan dengan ketidakstabilan politik yang akhirnya memberi impak negatif kepada ekonomi dan kehidupan rakyat secara keseluruhan,” jelas beliau.

Pada masa yang sama Azman turut bersetuju kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua pemimpin memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta berusaha meningkatkan ekonomi negara.

“Saya setuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kita mesti tumpu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik buat rakyat serta memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Cukup-cukuplah berpolitik dan sekarang masa untuk bekerja serta membantu menyelesaikan segala permasalahan harian rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.