Kerajaan Madani Akan Anjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Dan Konvensyen Perpaduan Peringkat Negeri

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Kerajaan Madani akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera dan juga Konvensyen Perpaduan di peringkat negeri.

Kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi, Kongres Ekonomi Bumiputera akan diadakan pada 29 Februari, 1 dan 2 Mac manakala Konvensyen Perpaduan yang dimulai di negeri Perak pada 28 Januari ini.

“MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan Kementerian Ekonomi diberikan tanggungjawab menjadi Sekretariat Tetap penganjuran yang akan menyelaras seluruh proses penganjuran termasuk libat urus yang dijalankan oleh sepuluh kluster yang melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, usahawan, NGO (badan bukan kerajaan), ahli korporat, usahawan muda dan lain-lain.

“Selain daripada itu mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Perpaduan di negeri-negeri yang melibatkan semua parti-parti yang membentuk Kerajaan Madani. Konvensyen Perpaduan peringkat negeri akan dimulakan di Negeri Perak pada 28 Januari ini,” kata Pengerusi MARA itu.

Malam tadi, berlangsung Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir kepimpinan seluruh 14 parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Tambah Dr Asyraf, Kongres Ekonomi Bumiputera dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli

“Fokus perbincangan juga menjurus kepada soal pemerkasaan ekonomi dan strategi untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat ketika ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.