Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO: Susun Strategi, Kembalikan Maruah Parti – Megat Zulkarnain

SEPANG, 23 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bertekad untuk menyusun strategi bagi mengembalikan semula maruah dan kemenangan UMNO di negeri tersebut.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana diberikan barisan kepimpinan negeri yang sentiasa akur dan bekerjasama dalam usaha mengukuhkan semula parti.

“Saya juga nak ucap terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi saya sedikit amanat dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana diberikan 21 ketua bahagian, ketua sayap dan naibnya yang sentiasa akur. Kami bekerja sebagai satu pasukan yang kuat untuk mengembalikan maruah UMNO di Negeri Selangor.

“Kalau kita hidup, kita mesti hidup bersama. Kalau kita mati, kita mesti mati bersama untuk kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua ketua bahagian yang sentiasa ‘stands up with me’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bersama UMNO Bahagian Sepang di sini, pada Ahad.

Menurutnya, ketetapan Allah telah mengangkat darjat UMNO/BN kerana keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu memperlihatkan tiada satu pun parti dapat membentuk kerajaan.

“Kepada keluarga besar saya di Sepang, saya akan ada di negeri Selangor setiap malam bagi menyusun strategi. We will bring back this party.

“Kepincangan yang berlaku membuatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa memimpin UMNO/BN ke PRU ke-15 dan akhirnya Allah menentukan kita menang 30 kerusi. Ada yang mengatakan ini memang perancangan Datuk Seri Zahid nak bersama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Allah telah menentukan kita hanya menang 30 dan Allah juga menentukan PH menang 82, Perikatan Nasional (PN) menang 73… tidak boleh mana-mana pihak membentuk kerajaan tanpa UMNO dan Allah angkat kembali darjat UMNO serta Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Turut hadir ke program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO ini ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said serta kepimpinan bahagian tempatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.