Tekad UMNO Terus Perjuangkan Agenda Melayu Tanpa Mengetepikan Kaum Lain – Ahmad Zahid

SEPANG, 22 Jan – UMNO sentiasa memperjuangkan agenda Melayu tanpa mengetepikan kaum lain, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, orang Melayu sebenarnya masih sayang kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) maka semua peringkat kepimpinan parti perlu menyantuni keseluruhan para pengundi terutamanya yang ‘atas pagar’.

“Kita mempunyai masa tiga tahun sebelas bulan sahaja untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Kita diserang daripada luar itu biasa. Jangan izinkan UMNO diserang daripada dalam kerana ianya akan menyebabkan lemah. Saya yakin di UMNO di Selangor ini akan dapat dibina semula.

“Jangan bergantung kepada pengundi putih. Kita mesti menyantuni pengundi lain yang bukan UMNO atau tidak menyertai mana-mana parti politik. Orang Melayu sebenarnya masih sayang kepada UMNO.

“Kita tahan ketika diuji waktu susah. Tunggu dah senang, jangan kufur nikmat. Kekalkanlah identiti kita, insya-Allah… Allah akan jaga maruah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO Bersama UMNO Bahagian Sepang di sini, malam tadi.

Menurutnya, UMNO perlu memainkan peranan semula dalam mengaktifkan agenda bumiputera termasuklah pemerkasaan ekonomi.

“Insya-Allah kita akan kembalikan agenda Melayu tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain. Apa yang penting, UMNO perlu memainkan peranannya,” katanya lagi.

Turut hadir ke program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO ini ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said serta kepimpinan bahagian tempatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.