Pemikiran Rasis Mahathir, Cara Politik Kolot Berpisah Tiada – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menempelak Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan rakyat kaum Cina dan India di negara ini.

Menurut Shaiful, kenyataan tersebut tidak perlu dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri yang dahulunya pernah menagih ihsan untuk pelbagai lapisan kaum mengundinya.

“Tun Mahathir dan pemikiran rasis serta cara politik kolot berpisah tiada. Baru baru ini, beliau lagi sekali mengeluarkan kenyataan rasis dengan persoalkan kesetiaan kaum India kepada negara.

“Sudah pasti akan mengguris perasaan kaum India di Malaysia. Malah, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya, kenyataan seperti ini sangat tidak patut dikeluarkan lagi lagi keluar daripada seorang bekas Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok dalam pada itu turut menempelak pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang hanya diam membisu apabila isu membabitkan kaum dibangkitkan.

Bagaimanapun kata beliau, perkara itu tidak menghairankan apabila PN hanya mengambil peduli membabitkan isu yang menguntungkan mereka.

“Pun begitu lebih sedih dan kasihan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta sekutu semua diam membisu. Tetapi tidak terkejut pun disebabkan mereka sememangnya sebuah parti yang penunggang sentimen paling tegar.

“Mereka sedar sebarang kenyataan yang tidak pro Melayu dan Islam hanya akan membuatkan rating mereka jatuh. Jadi mereka sanggup persetankan sahaja sebarang tindakan yang betul untuk negara,” ujar beliau.

“Konklusi mudahnya, Pas dan PPBM akan selamanya menjadi penunggang kepada sentimen Melayu dan Islam. Dan kalau ini lah politik mereka, mereka tidak akan pernah berjaya, kerana Malaysia negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Politik perkauman sebegini sudah tidak relevan,” tegas beliau.

Katanya lagi yang menjadi mangsa kepada perkara ini adalah Gerakan yang menjadi mangsa dan kambing hitam kepada PN kerana bersifat parti komponen bertaraf “perkakas’ kerana terpaksa melukut di tepian komponen PN yang lain.

“Dalam masa yang sama, Gerakan bertindak sebagai parti pencuci “kotoran”. Hakikatnya, itu lah simbiosis PN. Kesemuanya saling menjadi parasit antara satu sama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam satu temu bual eksklusif dengan TV satelit India, Thanthi TV, Dr Mahathir dilapor berkata, beliau berpandangan kaum India dan Cina di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih mahu mengaitkan identiti diri mereka dengan negara asal masing-masing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.