Ahmad Zahid Nafi UMNO Tamak

PUTRAJAYA, 22 Jan – Isu tamak jawatan tidak timbul susulan keputusan UMNO Selangor untuk menolak kuota 20 jawatan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan yang dibuat oleh UMNO Selangor itu harus dihormati.

“Saya hormati keputusan mereka untuk menolak 20 tempat yang sudah diperuntukkan bagi menduduki jawatan ahli majlis PBT…. mereka tak kecil hati, dan kita mahu memainkan peranan secara bebas, tidak duduk sebagai ahli di PBT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata UMNO akan terus mendukung dan menyokong program kerajaan negeri walaupun tidak menjadi ahli majlis PBT.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilaporkan berkata UMNO Selangor akan memberi tumpuan kepada 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yang dilantik di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, selepas menolak kuota ahli majlis PBT yang diberikan kepada parti itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.