Kerajaan Punyai Misi Jelas, Pelabur Terus Komited Melabur Di Negara Ini – Fariz Hazurin

SUBANG, 21 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata Malaysia adalah destinasi terbaik untuk pelabur-pelabur asing membuat pelaburan kerana kerajaan ini adalah kerajaan yang stabil.

Menurutnya, negara ini bukan sahaja stabil malah kerajaan telah membentangkan dasar yang jelas, tetapi juga komited untuk memastikan persekitaran mesra perniagaan untuk pelabur asing.

“Dasar negara yang dirancang demi rakyat harus diteruskan terutama dasar yang menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Momentum seperti ini harus dikekalkan selagi negara ini mencerminkan kestabilan dari pelbagai sudut politik, tadbir urus dan ekonomi.

“Ketidakstabilan politik akan memberi kesan negatif besar kepada ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa termasuk pelaburan asing,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya kata Fariz Hazurin lagi, rakyat perlu sedar permainan pembangkang yang sering mencetuskan propaganda dan mahu merosakkan reputasi negara.

“Rakyat perlu sedar… propaganda yang dicetuskan oleh pembangkang boleh menyebabkan pelabur asing akan lari dan merosakkan reputasi negara.

“Kemungkinan besar, pelabur yang mengumumkan untuk melaksanakan pelaburan di Malaysia akan menarik balik keputusan disebabkan ketidaktentuan ini.

“Negara juga akan mengalami kehilangan peluang pelaburan berbilion ringgit malah kesan berganda dari segi penciptaan peluang pekerjaan dan pembinaan infrastruktur baharu turut lebur,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan sekiranya pelabur melihat keadaan politik negara tidak stabil, ia akan menjadikan ekonomi negara semakin buruk.

Tambahnya, segala usaha Kerajaan Perpaduan dalam menarik minat pelabur asing ke Malaysia akan menjadi sia-sia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.