Jadikan Pesta Ponggal Suntikan Semangat, Demi Kemajuan Masyarakat India Dan Negara – Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keterujaan beliau meraikan Pesta Ponggal Perpaduan bersama 2,000 orang masyarakat India di Shah Alam, hari ini.

Beliau dalam ucapannya berkata seharusnya semangat Ponggal ini perlu dikekal dan disemarakkan sebagai salah satu lambang perpaduan antara kaum di dalam negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa.

“Jadikan perayaan Ponggal ini sebagai suntikan semangat untuk kita terus bekerja keras, penuh dedikasi dan berfikiran positif untuk terus menyumbang demi kemajuan masyarakat India dan negara.

“Dalam ucapan saya semasa majlis tadi, saya sempat membawa isu membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan komuniti India di negara.

“Saya berpandangan, vertical social mobility atau pergerakan dari satu tingkat ke tingkat yang lain dalam hierarki sosial harus ditambahbaik dan dilakukan bagi menjamin taraf hidup ke arah yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Menurut Ahmad Zahid lagi, pendidikan sangat penting dan semua kelompok masyarakat perlu memanfaatkan peluang pendidikan sebagai menjamin kesejahteraan masa hadapan.

Katanya lagi, sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau turut menyuarakan hasrat mahu melihat anak-anak muda masyarakat India untuk mengambil peluang menyertai bidang TVET berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), electric vehicle, tenaga hidrogen dan lain-lain bidang.

“Saya telah menyampaikan sumbangan 200 tablet kepada para pelajar yang memerlukan agar dapat digunakan untuk pembelajaran secara online, sekaligus membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

“Peluang pekerjaan seperti TVET ini sudah tersedia kerana pelbagai institusi latihan sudah pun menjalinkan kolaborasi strategik dengan industri berkaitan.

“Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan pencapaian anak-anak kita dan budaya untuk terus menyumbang bakti serta melaksanakan kerja-kerja kebajikan terus subur dalam kalangan pimpinan politik, ahli-ahli perniagaan, rakan-rakan NGO dan semua pihak demi meningkatkan taraf sosial masyarakat India di Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.