Pembangkang Terdesak Cipta Sentimen Tukar Kerajaan Untuk Pancing Ahli Parlimen – Azhar

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad menempelak Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata kerajaan terdesak sehingga mencadangkan Rang Undang-undang (RUU) digubal bagi membolehkan kerajaan mentadbir sehingga sepenggal.

Sebaliknya Azhar berkata pembangkang yang dilihat terdesak kerana sengaja mencipta sentimen peralihan kerajaan semata-mata untuk mengekang sokongan ahli Parlimen mereka kepada kerajaan yang pada masa kini semakin bertambah.

“Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tak takut pun kerana hari demi hari ada ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri cuma pembangkang hendak wujudkan persepsi agar kerajaan gundah-gulana.

“Kebarangkalian langkah-langkah dibuat ini bagi memberi harapan kepada orang-orang yang hendak menyokong Perdana Menteri yang mereka ini akan ada peluang dijanjikan kalau runtuhnya kerajaan ini.

“Jadi kebarangkalian ini juga untuk menahan mereka ini daripada terus menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri kerana realitinya tiada, sebaliknya Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi kenyataan tidak akan membenarkan hal-hal seperti ini berlaku.

“Hendak runtuh ini adalah ciptaan persepsi supaya negara kita berada dalam keadaan huru-hara, kalau mereka itu teringin untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri berhenti sekejap dahulu kerana kemungkinan mereka akan jadi kerajaan, itu sahaja taktik,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Terdahulu TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu rang undang-undang (RUU) bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Azhar malah menyoal desas-desus pertukaran kerajaan kerana pada masa kini sokongan kepada Perdana Menteri semakin bertambah apabila lima ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Sebelah sana pun kita lihat sudah lima orang ahli Parlimen daripada PPBM memberikan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, ianya adalah menambah angka daripada 142 bertambah 147, jadi dari mana hendak runtuhnya kerajaan ini?” soal beliau.

Jelas Azhar lagi cadangan untuk menggubal RUU tersebut juga adalah wajar bagi mewujudkan negara yang stabil tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau ini kerana sesuatu kerajaan yang dibentuk adalah berdasarkan pilihan daripada rakyat melalui pilihan raya dan wajar dihormati.

“Jadi TPM mencadangkan RUU supaya sepenggal ini tidak ada kacau-bilau daripada pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan ini. Tidak akan terjadinya peristiwa pertukaran PM ini dalam tempoh empat, lima tahun ini.

“RUU ini untuk kerajaan selama sepenggal supaya tidak ada kes-kes durjana hendak tukar PM secara tidak sopan kerana kerajaan yang terbentuk ini datangnya daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Tunggu habis dahulu, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berperanglah selama 24 jam pun untuk mendapatkan kuasa membentuk sebuah kerajaan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.