Malam Penting Buat Malaysia, Ahmad Zahid Doakan Kemenangan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk sama-sama menonton perlawanan bola sepak di antara Harimau Malaya menentang Bahrain hari ini dalam misi menghidupkan semula laluan ke Pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023.

Menyifatkan malam genting buat negara, beliau turut sama mendoakan kejayaan pemain Harimau Malaya dalam pertembungan tersebut malam ini.

“Malam penting buat Malaysia! Gementar ada, bimbang pun ada. Tapi sama-sama lah kita semua memberikan sokongan padu kepada skuad negara, Harimau Malaya yang akan beraksi pada malam ini menentang pasukan Bahrain.

“Kita doakan semoga skuad negara akan peroleh kemenangan malam ni. Doa seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod sekiranya Malaysia yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, berjaya meraih tiga mata, ia adalah kemenangan pertama skuad Harimau Malaya dalam tempoh 44 tahun pada pertandingan ini sejak menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 pada edisi 1980 di Kuwait.

Kali terakhir Malaysia berjaya menundukkan Bahrain pada 1978 yang menyaksikan pasukan negara menang 2-1 dalam pertembungan pada Piala Presiden sebelum tewas tujuh dan seri tiga dalam 10 pertemuan selepas itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.