Iltizam, Keazaman Yang Tinggi Dan Strategi Berkesan Mampu Cipta Kemenangan – Nurul Aslina

CAMERON HIGHLANDS, 20 Jan – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang Nurul Aslina Saman berkata untuk mencipta kemenangan dalam pilihan raya akan datang adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Temerloh itu, ia memerlukan iltizam serta keazaman yang tinggi di samping mempunyai strategi yang berkesan.

“Mencipta kemenangan pilihan raya bukannya mudah, memerlukan iltizam, ketinggian tekad, semangat waja serta keberkesanan strategi untuk meningkatkan momentum sokongan rakyat berbilang kaum.

“Jentera parti perlu bekerja lebih keras dengan melipat gandakan usaha untuk memastikan cara kerja, perlu sentuhan dan kecekalan baharu.

“Sebarang perkara berbangkit yang boleh menjejaskan UMNO memerlukan kata sepakat bagi mengatasinya. Kesetiaan harus ada dalam kalangan pemimpin dan ahli parti untuk mempertahankan parti daripada sebarang tohmahan,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam konteks negeri Pahang, Nurul Haslina yakin dengan kredibiliti yang ada pada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang.

Beliau percaya komitmen yang diberikan oleh Naib Presiden UMNO itu dan memfokuskan kerja-kerja politik agar dapat mengembalikan Pahang ke landasan yang tepat.

“Saya percaya Pengerusi BPUN telah menyatakan istiqamah dalam gerak kerja kerana beliau menyatakan komitmen dan akan terus beri fokus 60 peratus untuk kerja-kerja politik dan selebihnya untuk kerajaan negeri.

“Generasi muda hari ini boleh menilai kewibawaan mana-mana parti termasuk UMNO secara keseluruhan, sebelum menyatakan sokongan menerusi ledakan informasi di media sosial,” katanya.

Justeru katanya lagi, Wan Rosdy akan turun ke akar umbi untuk menyantuni lebih ramai masyarakat terutamanya anak muda di negeri Pahang ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.