Undang-undang Kerajaan Tadbir Sepenggal Jaminan Kestabilan, Ekonomi Negara – Rozabil

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Undang-undang bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dikekalkan sehingga satu penggal akan memberikan kestabilan kepada negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Beliau berkata, ia sekaligus memperkukuh ekonomi negara ke landasan yang lebih baik melalui pelaburan-pelaburan daripada syarikat asing atas dasar kestabilan dimiliki kerajaan.

“Cadangan ini bukan semata-mata kuasa tetapi untuk memastikan negara kita berada dalam keadaan stabil dan ini pastikan dapat memperkukuh ekonomi. Malah yang penting untuk meyakinkan pelabur asing menanam modal di dalam negara kita.

“Dan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini adalah mengikut lunas-lunas demokrasi dan kerajaan ini yang melibatkan beberapa parti-parti politik mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sikap pembangkang yang mencetuskan idea-idea menukar kerajaan walaupun perkara itu tidak betul tetapi bagi saya ianya adalah salah satu mensabotaj ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau dalam pada itu menafikan dakwaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mengatakan bahawa cadangan itu adalah langkah terdesak oleh kerajaan.

“Sebenarnya tidak terdesak sebab kita hendak pastikan supaya bila keadaan ekonomi negara baik ini semestinya akan memberi nikmat kepada rakyat. Jadi cadangan ini bukannya terdesak untuk mengekalkan jawatan tetapi untuk memastikan kestabilan.

“Saya percaya saranan atau cadangan ini bukan seperti mana yang disebutkan oleh pembangkang hanya untuk mengekalkan kuasa. Sebaliknya cadangan itu lebih kepada supaya negara kita ada kestabilan kerana sikap pembangkang itu yang senantiasa tidak dapat menerima hakikat yang mereka bukanlah kerajaan.

“Apabila ada undang-undang macam ini bermakna pihak pembangkang tidak lagi boleh sewenang-wenangnya war-war yang kononnya kerajaan akan bertukar,” ujar beliau.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau juga berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.