Pemukiman Jemaah Menteri: Bincang Hala Tuju Negara Sejajar Konsep Malaysia Madani – Zambry

SEPANG, 19 Jan – Pemukiman barisan jemaah menteri yang diadakan selama dua hari adalah bertujuan untuk membincangkan dan memperincikan hala tuju negara sejajar konsep Malaysia Madani.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelbagai perkara turut dibincang dan dibentangkan sepanjang pemukiman untuk mewujudkan satu manifestasi jelas bagi menerajui setiap kementerian.

“Dua hari lalu, kami barisan Jemaah Menteri telah hadir ke pemukiman di Cyberjaya bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan-Timbalan Perdana Menteri.

“Pemukiman ini bertujuan untuk membincang dan memperincikan hala tuju negara sejajar dengan konsep Malaysia Madani dan juga gagasan daripada Perdana Menteri sendiri.

“Pelbagai perkara turut dibentangkan dalam pemukiman dua hari ini dan yang lebih penting ialah kami sebagai penggerak kepada aspirasi negara dapat duduk, bincang bersama serta mewujudkan satu manifestasi lebih jelas untuk menerajui setiap kementerian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri sering mengingatkan apa jua inisiatif dan keputusan mestilah diberikan keutamaan perihal negara serta rakyat.

“Dalam program ini juga, Perdana Menteri seringkali mengingatkan apa juga inisiatif, tindakan mahupun keputusan yang hendak diambil, perlu diberi keutamaan perihal kepentingan rakyat dan negara.

“Insya-Allah kami yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab ini akan berusaha untuk merealisasikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 selama dua hari tersebut akan menumpukan usaha mencari ikhtiar baharu bagi melonjakkan ekonomi negara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berkata, program tersebut turut membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.

Menurutnya, program itu turut memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.