PINTAR: Sinergi Berganda Kerajaan Perpaduan Untuk Agenda Pertanian Kepada Rakyat – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 18 Jan – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat agenda empat industri fokus 2024 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan amat bertepatan dan hasrat tersebut disambut baik dalam usaha memberi impak positif secara menyeluruh kepada rakyat.
Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu, fokus kementerian kepada Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) amat dialu-alukan kerana melalui konsep ini, pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dan ‘re-engineering’ dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan akan diberikan penekanan yang komprehensif.
“Menepati citarasa dan keperluan semasa, kami di Negeri Sembilan juga menyokong agenda empat Industri Fokus 2024, melibatkan industri padi, industri ayam dan telur, industri bawang dan industri nenas.
“Segala agenda ini akan disambut baik oleh kami di peringkat Negeri Sembilan melalui sinergi yang lebih besar dari jabatan-jabatan yang terlibat, agar hasrat kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat diseiringkan demi impak positif yang berganda kepada rakyat keseluruhannya,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, secara kesimpulannya pada tahun 2023, sektor pertanian dan asas tani negara berhadapan cabaran yang cukup kompleks serta penuh warna warni, namun, rekod menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan telah berjaya memastikan setiap cabaran dan dugaan itu dapat diatasi dengan optimum.
“Semasa sesi Amanat Tahun Baharu 2024 oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 16 Januari 2024, beliau mengimbas empat pencapaian utama sektor pertanian di negara kita bagi tahun 2023, iaitu Jualan Agro Madani yang berjaya memberi penjimatan 10 hingga 30 peratus kepada rakyat, program intervensi telur ayam dan beras putih tempatan, penamatan subsidi ayam bagi tujuan penyelarasan subsidi dan penganjuran program-program berimpak tinggi melibatkan sektor pertanian.
“Untuk menelusuri cabaran tahun 2024, menteri akan memberi fokus kepada Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).
“PINTAR akan menekankan lima strategi utama melibatkan pembangunan kapasiti dan infra, reformasi institusi dan tatakelola, penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi, teknologi, mekanisasi dan automasi, dan akhir sekali perluasan jaringan kolaborasi. Lima teras strategi ini adalah indikator kritikal kepada pembangunan, pengembangan dan pengukuhan sektor agromakanan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online