Mohamad Hargai Sumbangan Tabung Peace4Palestine Daripada Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan penghargaan atas keprihatinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang menyerahkan Sumbangan Tabung Peace4Palestine berjumlah RM185,000.00.

Meluahkan kesyukuran tersebut, Mohamad berkata sumbangan tersebut amat bermakna kerana sedikit sebanyak membantu rakyat Gaza yang ketika ini masih lagi terhimpit dengan kekejaman rejim Zionis.

“Alhamdulillah petang semalam menerima Sumbangan Tabung Peace4Palestine daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.

“Sumbangan berjumlah RM185,000.00 telah diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim.

“Tahniah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia atas usaha terpuji ini. Semoga Allah SWT membalas jasa budi kalian dalam berempati dengan nasib rakyat Palestin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Peperangan Israel ke atas Gaza sudah berlangsung selama 102 hari, membunuh sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 61,154 orang.

Ianya juga telah menyebabkan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, sebahagian daripada mereka beberapa kali dan menyebabkan krisis kemanusiaan, dengan bekalan makanan, bahan api dan perubatan semakin berkurangan.

Pengerusi Dana Pelaburan Palestin, Mohammed Mustafa di Forum Ekonomi Dunia (WEF ) berkata lebih ramai penduduk Gi gaza berkemungkinan mati akibat kebuluran berbanding peperangan.

Beliau menambah, masyarakat antarabangsa perlu bergerak pantas untuk mengelak senario sedemikian, sambil berkata penyelesaian politik melalui penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sebagai satu keperluan segera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.