Langkah Dubai Permainan Politik Tidak Matang, Hanya Timbulkan Kekalutan – Zuhir Ghazali

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Presiden UMNO Siswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia mempunyai majoriti besar dan stabil dengan kedudukan kerajaan yang melebihi dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, Langkah Dubai yang sengaja diadakan oleh pembangkang bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan dan timbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan yang sedia ada.

“Selepas lebih setahun Kerajaan Madani ini dibentuk dengan majoriti lebih dua pertiga ahli Parlimen, mengapa masih lagi ada gerakan seperti ini? Jangan kerana tamak dan haloba dengan kuasa hingga tergamak untuk mengembalikan semula negara ini menjadi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Rakyat hari ini perlukan kerajaan yang stabil untuk menentukan hala tuju Malaysia. Sampai bila kekalutan politik ini akan berterusan. Kekalutan politik ini mula membahang apabila ada pihak menjaja konsep kerajaan ‘tebuk atap’, pintu belakang dan sebagainya.

“Sampai bila politik negara akan diwarnai permainan politik tidak matang ini. Apa yang pasti, rakyat akan menjadi mangsa. Kerajaan tidak stabil akan menyebabkan timbul keraguan terhadap sokongan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Ujarnya, sikap pentingkan diri dan gila kuasa ini dilihat sangat tidak sihat kepada sistem pentadbiran negara dan keadaan ini sebenarnya membawa natijah tidak sihat kepada generasi muda.

Seterusnya kata Zuhir, bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memfokuskan kepada membantu rakyat dan memulihkan semula ekonomi.

“Satu fakta yang kita perlu sedar adalah, fasa pasca pandemik masih belum lagi pulih dengan sekata. Banyak kemelut yang masih belum selesai. Isu perumahan, isu kemiskinan luar bandar, tekanan ekonomi bandar, ketaksamaan pegangan aset bandar dan luar bandar dan sebagainya. Isu-isu ini jauh lebih besar berbanding ketamakan kuasa. Maka amat tepat hasrat dan pandangan Presiden tersebut.

“Hentikan ‘political drama’ ini serta-merta, kerajaan ada wawasan dan gagasan yang jauh lebih besar. Modal insan bangsa dan negara ini perlu diupayakan semula dan hala tuju Malaysia perlu dipacakkan semula serta kuasa adalah alat untuk mengangkat harakat bangsa, agama dan negara. Bukan tujuan utama,” jelas Zuhir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.