Jejak 100 UMNO Bahagian Maran: Pohon UMNO Kuat Kerana Akarnya – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengumpamakan hubungan antara pimpinan parti dan ahli di peringkat akar umbi seperti sepohon pohon yang saling memerlukan.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Maran itu, tanpa kekuatan akar sudah pasti pohon tersebut tidak dapat berdiri dengan tegak dan kukuh.

“Kuatnya pokok UMNO ini adalah kerana kuatnya akarnya. Tanpa akar, pokok ini tidak akan kuat berdiri teguh dan tegak.

“Teruskan bekerja untuk rakyat. Buktikan UMNO ini tidak menunggu diberi kuasa untuk bekerja,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Dalam laman sosialnya itu, Shahaniza dan kepimpinan bahagian mengadakan program ‘Jejak 100 UMNO Bahagian Maran’ di tiga cawangan di Felda Bukit Tajau, Maran, pada Rabu.

Tambah Shahaniza, pertemuan tersebut berjalan dengan suasana penuh semangat dan tekad.

“Melihat semangat ahli-ahli akar umbi UMNO, saya bersama pimpinan UMNO Bahagian Maran yang hadir turut terasa terkobarnya.

“Inilah UMNO yang sebenarnya. Membincangkan perihal akar umbi. Isu agama, bangsa dan negara sentiasa menjadi topik perbincangan,” katanya.

Terdahulu dalam satu statusnya, seperti kebiasaan pada setiap hari Rabu beliau meluangkan masa di ‘Hari Bersama Rakyat’ walaupun terdapat cakap-cakap yang negatif kerana bukan lagi berstatus wakil rakyat.

“Ada juga suara-suara yang bertanya “Sampai bila hendak diteruskan Hari Bersama Rakyat ini? UMNO dah kalah. Lebih baik biarkan yang menang buat kerja.”

“Jawapan saya mudah; ya, memang pilihan raya sudah tamat. Tapi keputusan itu tidak pernah sesekali menamatkan jiwa UMNO yang sejak dahulu berkhidmat kepada rakyat Maran,” ujarnya.

Seterusnya, Shahaniza mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana masih meletakkan kepercayaan kepada UMNO.

“Semampu dan sedaya saya, akan saya cuba selesai dan bantu. Saya akan cuba sehabis baik untuk bantu seramai yang mungkin,” katanya.

Begitu juga beliau mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan UMNO Bahagian Maran yang bersama dalam sesi bersama rakyat itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.