Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap Bantu Kerajaan Tadbir Negara Dengan Baik – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap mampu untuk membantu kerajaan mentadbir negara dengan baik dalam tempoh masa yang mencukupi, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Jelasnya, perkara ini dapat memboleh kerajaan memberikan fokus yang jitu untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengukuhkan ekonomi negara.

“Bagi saya cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya apabila dipilih kerajaan, ianya akan kekal untuk lima tahun ini sedikit sebanyak akan banyak membantu memberi ruang masa yang mencukupi untuk sesebuah kerajaan mentadbir negara dengan baik.

“Untuk fokus jaga rakyat, kukuhkan ekonomi negara, wujudkan peluang pekerjaan dan pelbagai lagi. Manfaatnya akhirnya akan dipulangkan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Menurutnya, setiap kerajaan yang dipilih rakyat pada pilihan raya sepatutnya kekal selama lima tahun mengikut perlembagaan.

“Dalam perlembagaan, kita buat pilihan raya, sekali pilihan raya itu untuk satu penggal. Satu penggal itu untuk lima tahun. Tetapi akibat daripada apabila wujudnya kerajaan tebuk atap, kerja-kerja kerengga seperti yang Tan Sri Abdul Hadi cakap ini, ia dah jadi bukan pilih kerajaan satu penggal.

“Ia boleh jadi 18 bulan seperti zaman Muhyiddin, 22 bulan seperti zaman Tun Dr Mahathir. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku sebab akhirnya yang musnah adalah ekonomi negara.

“Rakyat yang kena tanggung hutang, daripada Datuk Seri Najib tinggalkan RM686.8 bilion sekarang dah jadi lebih daripada RM1.5 trilion… yang buat angkaranya ahli politik. Tetapi yang kena tanggungnya generasi akan datang ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa sudah tiba masanya untuk negara mempraktikkan satu kerajaan bagi satu penggal.

“Bagi saya cukuplah, penat melayan kerenah segelintir ahli politik yang sentiasa mencari ruang untuk tebuk atap dan menukar kerajaan ini. Jadi, sudah tiba masanya kita betul-betul praktikkan satu kerajaan itu untuk satu penggal.

“Maknanya orang pergi mengundi itu untuk pilih kerajaan yang akan menjaga negara untuk tempoh lima tahun. Bukan untuk tempoh setahun dua dan selepas itu tukar,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dapatan kajian yang menyeluruh tersebut akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Untuk rekod, sebanyak 26 negara Eropah yang mengamalkan Westminister telah mengaplikasikan akta ini bagi menjaga kestabilan pemerintahan negara mereka, antaranya Itali, Jerman, Perancis, Sweden, New Zealand, Kanada dan Australia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.