UMNO Parit Sulong Sahut Seruan Lancar Program Halaqah, Rapatkan Ukhuwah Akar Umbi – Zulkurnain

PARIT SULONG, 17 Jan – UMNO Bahagian Parit Sulong telah berjaya menjadi antara bahagian terawal di Malaysia menyahut seruan pelaksanaan program halaqah di peringkat bahagian sepertimana saranan Majlis Ulama UMNO Malaysia baru-baru ini, kata Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Menurutnya, program yang diadakan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk setempat serta memantapkan lagi kefahaman tentang Islam.

“Program halaqah merupakan salah satu program untuk memantapkan kefahaman berkenaan Islam dan pelaksanaannya dalam kehidupan selain mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli dan masyarakat.

“Ianya merupakan program bulanan anjuran setiap UMNO bahagian. Pelaksanaannya bermula pada tahun ini setelah dilancarkan secara rasmi dalam Himpunan Ulama dan agamawan yang diadakan di Institut Pemerkasaan Ummah (ILMU), Janda Baik baru-baru ini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama UMNO, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom; Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO Malaysia, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Parit Sulong mendapat sambutan yang hangat dari akar umbi.

“Program ini telah menerima sambutan apabila lebih 200 peserta dari kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan memenuhi setiap ruang dewan,” ujarnya.

Terdahulu program pemukiman Majlis Ulama UMNO Malaysia telah diadakan pada 19 November lalu.

Ia dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang manakala penutupannya disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.