Langkah Dubai Fatamorgana Dan Pembohongan Pembangkang Semata-Mata – Fariz Hazurin

SUBANG, 17 Jan – Pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan dan ketiadaan modal untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan serta menimbulkan propaganda bagi menipu penyokong-penyokongnya dengan mengadakan ‘Langkah Dubai’, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.

Ini kerana katanya, tindakan mereka hakikatnya boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Apa yang diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai Langkah Dubai adalah mustahil dan ini hanyalah ‘fatamorgana’ pihak pembangkang.

“Baik Langkah London sebelumnya, kini Langkah Dubai atau Langkah Tebuk Atap dan seterusnya, yang didalangi pemimpin parti pembangkang dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tiada satu pun yang akan berjaya kerana pembangkang hanya bermimpi di siang hari.

“Cubaan pembangkang untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan dengan kadar segera dan ianya adalah tindakan kurang bijak,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, pembangkang sengaja melakukan gerakan tersebut dan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan menganggu-gugat sistem demokrasi negara.

“Saya menganggap semua tindakan pihak pembangkang ini ‘as an act of treasons’ atau suatu usaha gerakan pengkhianat untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas permuafakatan parti-parti dalam kerajaan.

“Jangan rosakkan reputasi negara kerana negara sedang berkembang terutamanya dalam sektor pelabur asing. Seharusnya pihak pembangkang harus menggembleng tenaga dan idea untuk memajukan negara dan bukannya dengan melakukan Langkah Dubai’,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau merasa terkilan pada pihak pembangkang sengaja menjaja nama-nama pemimpin UMNO bagi menimbulkan perpecahan dalaman parti.

“Pelbagai nama pemimpin yang dipetik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab adalah sekadar untuk menimbulkan perpecahan di dalam UMNO itu sendiri.

“Mengapa perlu wakil rakyat UMNO untuk berpaling tadah sedangkan mereka sudah sedia mendapat tempat dalam Kerajaan Perpaduan? Malah dengan rombakan Kabinet baru-baru ini, lebih ramai pemimpin utama UMNO dibawa masuk dalam pentadbiran kerajaan,” jelas Fariz lagi.

Terdahulu dilaporkan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyedari rancangan sulit dipanggil ‘Langkah Dubai’ untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun menyifatkan usaha itu hanya membuang masa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.