Jangan Asyik Bermain Politik, Realitikan Misi Untuk Kemajuan Rakyat – Sharif Musa

LAHAD DATU, 17 Jan – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang mahu agar pengukuhan Kerajaan Perpaduan menjadi keutamaan perlu disambut dan diangkat menjadi gerak kerja dengan menolak permainan politik.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menolak mana-mana pihak yang asyik bermain politik tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat keseluruhan apatah lagi tempoh penggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih berbaki.

Tegasnya, adalah wajar sekiranya panggal yang berbaki ini ditumpukan oleh kepimpinan yang ada kepada perancangan objektif, visi dan misi ‘Sabah Maju Jaya’ sebagaimana yang terpampang pada bangunan dan jalan-jalan di negeri ini.

“Mana-mana pihak janganlah asyik bermain politik dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan dan persefahaman Kerajaan Perpaduan.

“Untuk Sabah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri telah mengatakan baru-baru ini, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar.

“YAB Presiden juga berkata, parti itu sedia berkolaborasi dengan mana-mana parti asalkan mampu bermuafakat dalam menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan negara ini secara keseluruhannya, malah beliau menyokong pendirian UMNO Sabah,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Sharif Musa, ketika pembukaan tahun 2024, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mendedahkan, memang ada parti lain berminat untuk bergabung dengan UMNO Sabah.

“Bagaimanapun UMNO Sabah mengambil langkah untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN akan datang.

“Begitu juga dengan UMNO Bahagian Lahad Datu yang sentiasa menyantuni rakyat dan mahukan khidmat bakti berterusan dilaksana sebaiknya kepada masyarakat setempat,” katanya.

Apa yang lebih penting katanya, kesejahteraan rakyat Sabah dan negara ini secara keseluruhannya perlu terus terjamin iaitu hasil daripada kestabilan politik dan kebijaksanaan para pemimpinnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.