Onn Hafiz Ucap Terima Kasih Kepada Pemuda UMNO, Percaya Parti Mampu Bangkit Dan Membuat Rejuvinasi

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemuda UMNO Malaysia atas pelaksanaan Misi Bantuan Banjir ke negeri itu bagi membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu dalam akaun X, beliau juga berkesempatan berjumpa dengan delegasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Johor yang diketuai oleh Dr Akmal Saleh.

“Banyak perkara yang telah dibincangkan. Pandangan dan cadangan daripada orang muda amat kita perlukan ketika ini. Saya percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berupaya bangkit dan melakukan rejuvinasi parti demi memastikan kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional.

“Semoga Pemuda UMNO terus komited dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Manakala dalam satu perkongsian di Facebook, Dr Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor itu yang sudi menerima kehadiran sukarelawan Pemuda UMNO Malaysia.

“Teruskan memberi inspirasi kepada kami anak-anak muda untuk terus berkhidmat sebaik mungkin. Ini masa kita dengan cara kita,” katanya.

Dilaporkan, minggu lalu beberapa daerah di Johor dilanda banjir seperti di Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Johor Bahru, Kulai, Segamat dan Pontian.

Selain Johor, Kelantan, Pahang dan terbaharu Sabah juga dilanda banjir.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), banjir di Kelantan surut sepenuhnya manakala Johor dan Pahang beransur pulih.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan petang semalam memaklumkan seramai 274 mangsa banjir daripada 83 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah iaitu Sandakan, Beluran dan Daerah Kecil Paitan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.