Langkah Dubai: Cukup-Cukuplah Cipta Spekulasi… Rakyat Mahu Kita Bergerak Ke Hadapan – Hang Tuah

GOPENG, 16 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din menasihatkan Perikatan Nasional (PN) agar berhenti untuk mencipta spekulasi yang mampu menggugat kestabilan politik negara dan bergerak ke hadapan.

Jelasnya, propaganda ‘Langkah Dubai’ sengaja direka oleh PN bagi menutup kelemahan terutamanya berkaitan isu sokongan ahli Parlimen mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ianya sengaja direka bagi menutup kelemahan mereka (PN) kerana ada lagi ahli Parlimen PPBM yang bakal menyokong Perdana Menteri.

“Ia juga merupakan sabotaj terang-terangan kepada ekonomi negara di saat para pelabur telah mempunyai keyakinan dengan kestabilan dan kekukuhan politik negara,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, momokan bahawa UMNO gila kuasa dan berpatah balik kepada PN juga diibaratkan seperti ‘meludah ke langit’.

“Momokan mereka yang mengatakan UMNO gila kuasa dan berpatah balik kepada PN sama seperti ‘meludah ke langit’. Sebenarnya, ruang yang cukup besar dan luas telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan secara bersama.

“Akibat daripada keangkuhan dan kesombongan para kepimpinan PN menyebabkan ramai ahli Parlimen mereka sendiri membantah dalam senyap. Justeru, cubaan ini adalah seperti ‘mencurah air ke daun keladi’,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk menyumbang kesejahteraan kepada rakyat kerana mereka sudah muak dengan drama politik.

“Selepas pandemik COVID-19, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mengangkat semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. Mereka sudah muak dan tiada masa lagi untuk melayan karenah politik yang tidak berkesudahan.

“Inilah masanya untuk kita mengangkat martabat ekonomi negara. Kesejahteraan rakyat sangat bergantung kepadanya. Maju mundur, kaya miskin sesuatu bangsa itu terletak di tangan bangsanya sendiri. Sudah pasti Allah SWT yang menentukan segalanya.

Enough is enough… rakyat mahu kita move forward,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci perkara tersebut termasuk berkaitan akuan berkanun (SD). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.