Kestabilan Politik Kunci Utama Bagi Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ahlli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengulangi pendiriannya bahawa kestabilan politik adalah kunci utama untuk negara ini.

Dalam satu hantaran di laman X, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu berkata, untuk mencapainya pelbagai kaedah boleh dilaksanakan.

“Kestabilan, kemakmuran dan keharmonian politik penting di negara ini.

“Maka saya pilih untuk stabil sebagai kunci utama. Kaedah boleh pelbagai – Akta Anti Lompat Parti, akta baru sepenggal lima tahun, disiplin setiap parti dengan perjanjian dan lain-lain yang difikir baik, silalah laksana asal negara stabil,” katanya lagi.

Terdahulu, pada Ahad Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Manakala menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci bagi pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap termasuk kajian impak selain mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta itu.

Katanya juga, dapatan kajian yang menyeluruh itu akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.