Ahmad Zahid Seru Rakyat Pastikan Tempat Tinggal Bebas Pembiakan Nyamuk Aedes

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat untuk sentiasa memastikan persekitaran tempat tinggal bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam hantaran menerusi laman Faceboonya berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sejumlah 123,133 kes denggi pada tahun 2023 berbanding 66,102 kes pada tahun 2022, manakala jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi adalah 100 kematian pada tahun 2023 berbanding 56 kematian pada tahun 2022.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, saya menyarankan untuk diadakan kempen secara besar-besaran untuk memerangi nyamuk aedes sebagai satu usaha berterusan menangani denggi melalui platform media konvensional mahupun digital.

“Selain itu, gotong royong secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat harus dilaksanakan pada tahun 2024 antara usaha berterusan mengurangkan populasi nyamuk aedes di lokaliti berkepadatan tinggi,” katanya.

Jelas beliau, aktiviti gotong-royong secara berjadual di premis seliaan kementerian, jabatan dan agensi dijadikan agenda tetap dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Peringkat Daerah dan Negeri.

“Saya menyeru semua rakyat untuk sentiasa memastikan persekitaran tempat tinggal bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes. Tiada aedes, tiada denggi, chikugunya dan zika.”

Semalam, Ahmad Zahid telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.

Maklum Ahmad Zahid, antara perkara lain yang dipersetujui dalam mesyuarat ini adalah:

* Meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan termasuk penubuhan Task Force bersama GLC;

* Mempertingkatkan keupayaan sumber melalui penyumberluaran aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan dan larvisiding;

* Memperkukuhkan kepimpinan setempat melalui penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam jawatankuasa kawalan dan pencegahan denggi peringkat negeri dan daerah;

* Mencadangkan perluasan pengoperasian nyamuk Aedes berWolbachia melalui pertambahan 10 lokaliti baru bagi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia yang memerlukan dana sebanyak RM4 juta setahun bagi menampung kos operasi. Ini berikutan penurunan kes denggi 45% hingga 100% berbanding sebelum pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di 32 lokaliti di 7 negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.