UMNO Lahad Datu Tekad Terus Gembleng Tenaga, Berkhidmat Bukan Untuk Menikmat

LAHAD DATU, 15 Jan – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa tekad bahagian terbabit adalah menggembeleng seluruh kudrat yang ada, dan mara ke medan perjuangan bagi memastikan UMNO berpadu tenaga bekerja satu pasukan demi membela nasib agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, UMNO Lahad Datu mahu berkhidmat, bukan mahu menikmat maka jika ada tangan-tangan ghaib yang cuba memecahkan kesatuan parti, mereka tidak akan endahkan.

“UMNO Lahad Datu cukup menginsafi selepas PRU14, bermacam keperitan yang akar umbi rasai, semuanya diharungi dan telan, maka hari ini kita berpijak atas realiti dengan sama-sama mendukung Kerajaan Perpaduan bersama Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

“UMNO Lahad Datu fokus mengutamakan kepentingan rakyat dan membawa kesejahteraan bagi semua lapisan masyarakat, mengukir perubahan yang lebih baik, iaitu menjadi sumber harapan, bukan keputusan.

“Kita juga tidak berdiam diri dalam memenangi hati rakyat, malah di semua peringkat sentiasa turun padang memberi khidmat yang dillhamkan rakyat serta takkan terpengaruh dengan apa jua gerakan yang membelakangkan keputusan Presiden atau parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas mempengerusikan mesyuarat pertama UMNO Bahagian Lahad Datu untuk tahun 2024.

Kata Sharif Musa, UMNO menjadi tulang belakang kepada kerajaan dan menjadi peyelamat demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme hinggalah kepada kepimpinan parti hari ini.

“UMNO juga dikenali sebagai bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada bandar dan luar bandar, dan merencanakan perang terhadap kemiskinan serta kesusahan rakyat.

“Ketika YAB Presiden Datuk Zahid mengemudi pelayaran UMNO, telah membersihkan amalan pemimpin-pemimpin yang tidak sesuai dengan perubahan zaman, yang nampak miskin dari segi pemikiran dan sikap,” katanya lagi.

Terdahulu beliau bersama anggota jawatankuasanya telah menerima penerangan dari Perangkaan Malaysia, Pejabat Operasi Lahad Datu berkaitan operasi Pengkalan Data Utama (PADU). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.