‘Man On The Run’: Shah Zanuriman Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas ke atas tayangan filem dokumentari ‘Man On The Run’ di saluran Netflix.

Ini kerana katanya, filem dokumentari ini bakal merosakkan sistem keadilan negara dan sebarang tindakan berat sebelah yang ditayangkan boleh menyebabkan ia tenggelam di sebalik permainan persepsi.

“Saya berpegang kepada prinsip, setiap orang berhak menjalani proses pengadilan tanpa gangguan atau campur tangan dari pihak lain. Sebarang tindakan yang bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah boleh membuatkan keadilan tenggelam di sebalik permainan persepsi.

“Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan saya apabila dokumentari ‘Man On The Run’ di tayangkan sewaktu kemuncak perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (MDB) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Keterangan demi keterangan dari saksi-saksi jelas sekali menunjukkan sifat sebenar kes ini dan bukti-bukti dibentangkan sepanjang perbicaraan telah membuatkan rakyat yang mengikuti perbicaraan kes ini mula melihat bahawa Datuk Seri Najib teraniaya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, ada pihak yang tidak senang duduk dan menggunakan dokumentari ini untuk memastikan agar persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri itu berterusan.

“Ini dikuatkan lagi dengan kes mengubah laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang sebelum ini dimenangi oleh Datuk Seri Najib diperingkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

“Jadi saya yakin ada pihak yang tidak senang duduk dan menggunakan dokumentari ini untuk memastikan persepsi buruk terhadap Datuk Seri Najib diteruskan.

“Walaupun saya bersetuju bahawa kebebasan bersuara atau kebebasan berkarya itu patut diraikan tetapi saya sama sekali tidak setuju ianya digunakan secara tidak beretika untuk membina persepsi negatif yang berniat jahat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa keadilan tidak akan dapat ditegakkan sekiranya seseorang yang tertuduh itu dihukum bersalah melalui media sebelum dibawa mahkamah.

“Jika kita membiarkan perkara jijik ini berterusan dan tidak dibendung, keadilan tidak akan dapat ditegakkan kerana seseorang itu akan di hukum bersalah melalui media sebelum di dapati bersalah oleh mahkamah.

“Saya menggesa pihak kerajaan agar tidak membiarkan perkara ini tanpa tindakan tegas. Kerana pastinya ia akan merosakkan sistem keadilan dan menjadi barah kepada negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.