Man On The Run: Aduan Peguam Bela Najib Berasas, Tayangan Mesti Dihentikan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bahawa aduan peguam bela bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee Abdullah adalah berasas dan tayangan filem dokumentari ‘Man On The Run’ mesti dihentikan.

Ini kerana katanya, filem dokumentari tersebut memaparkan banyak fakta tidak benar, prejudis, fitnah dan tidak adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menghadapi perbicaraan.

“Memang berasas aduan peguam bela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah. Tayangan filem ‘Man On The Run’ oleh Netflix mesti dihentikan.

“Banyak fakta salah, prejudis, fitnah dan tidak adil terhadap Najib yang sedang dalam perbicaraan. Siapa sebenarnya ‘Man On The Run’?” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, Najib tidak pernah lari daripada berhadapan dengan puluhan tuduhan di mahkamah dan pihak berwajib tidak boleh bertolak ansur.

“Tun Daim? Menantu Muhyiddin? Atau Tun Mahathir? Najib tidak pernah lari walaupun berhadapan dengan puluhan tuduhan. Dia tidak akan lari.

“Ada orang merasakan dirinya kebal. Tidak boleh didakwa. Sebab itu pihak berwajib tidak boleh bertolak ansur. Siasat walaupun usia mereka lanjut. Kheu Sampan kawan Pol Pot (bekas Perdana Menteri Kemboja) didakwa pada umur 91 tahun,” katanya.

Pada minggu lepas, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil supaya mengambil tindakan menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk Man On The Run dalam platform penstriman, Netflix.

Muhammad Shafe berkata, dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu disifatkan fitnah, subjudis, prejudis terhadap anak guam (Najib) yang mana menghina mahkamah di dalam prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap anak guamnya yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.

Muhammad Shafee menghantar surat kepada Fahmi, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia SKMM, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin bertarikh semalam.

Dokumentari Man On The Run ditayangkan di Netflix melonjak ke tempat kedua dalam 10 Filem Terbaik platform penstriman di Malaysia.

Dokumentari mengenai 1MDB yang memberi penerangan tentang dakwaan bekas perdana menteri itu mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) ditayangkan pada 5 Januari. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.