Langkah Dubai Propaganda Murahan PN, Gugat Kerajaan Dipilih Rakyat Melalui Pilihan Raya – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berpandangan bahawa Langkah Dubai merupakan propaganda murahan daripada pihak Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya, ianya sengaja direka untuk menimbulkan tanggapan negatif rakyat dan dunia kononnya kerajaan ini boleh ranap pada bila-bila masa sahaja.

“Mengenai langkah Dubai, saya berpendapat ia sebenarnya propaganda murahan yang sengaja dicipta untuk menimbulkan tanggapan negatif rakyat dan juga dunia kononnya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan runtuh pada bila-bila masa.

“Sedangkan pada hakikatnya, Kerajaan Perpaduan sekarang ini berdiri teguh dengan sokongan lebih daripada dua pertiga ahli parlimen termasuk daripada pihak mereka sendiri (PN).

“Pihak PN sepatutnya berlapang dada menerima hakikat ini. Tetapi sebaliknya mereka telah mengupah cybertrooper yang tidak bermoral untuk memutarkan propaganda murahan mereka di media sosial khususnya TikTok sehingga menimbulkan kekeliruan dan keresahan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sepatutnya semua pemimpin parti politik memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat dan ekonomi negara serta bersama-sama memajukan negara.

“Perbuatan jahat mereka ini sepatutnya dihentikan serta merta melalui penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada kerana ianya boleh menggugat sebuah kerajaan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

“Memang tepat sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden UMNO bahawa sepatutnya semua pemimpin parti politik memberikan tumpuan kepada membantu rakyat dan negara pulih dari masalah ekonomi serta bersama-sama memajukan semula negara pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa ketidakstabilan dalam negara boleh menjejaskan ekonomi dan menyebabkan Malaysia ketinggalan dari sudut pembangunan.

“Kita sewajarnya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini kerana jika politik tidak stabil maka ianya boleh memberikan kesan domino kepada negara dan seluruh rantaian kehidupan rakyat.

“Ketidakstabilan yang berlarutan akan menyebabkan banyak agenda pembangunan negara terbantut dan terus ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran. Dahulunya, kita sentiasa mendepani mereka dari segi pencapaian ekonomi dan pembangunan,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci perkara tersebut termasuk berkaitan akuan berkanun (SD). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.