Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak Medium Kukuh Persefahaman Dan Keharmonian – Saarani

IPOH, 15 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak yang akan diadakan pada 28 Januari ini sebagai platform penting bagi memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang mendukung kerajaan hari ini.

Beliau berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bakal menjadi pentas menghimpunkan para pimpinan utama dan pimpinan akar umbi setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Perak.

“Konvensyen tersebut juga menjadi pelantar bagi menyuburkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan selain bersepakat mencipta naratif kerjasama yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran-cabaran politik semasa.

“Usaha ini juga merupakan komitmen seluruh barisan kepimpinan untuk merungkai segala perbezaan yang wujud agar dapat bekerja sebagai satu pasukan yang kuat demi meneguhkan kestabilan dan kesejahteraan kepada Negeri Perak,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Hadir sama barisan kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) negeri.

Bakal diadakan di Hotel Casuarina Convention Centre, di sini, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata tema konvensyen itu adalah “Madani: Mengangkat Agenda Rakyat Perak” dan akan menjadi pentas untuk pimpinan di semua peringkat melontarkan pandangan dan buah fikiran dalam usaha memperkasa dan mengupayakan ekonomi negeri dan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan antara agenda penting yang akan dijalankan semasa konvensyen tersebut adalah Ucapan Dasar dan ‘Mind Setting’ yang akan disampaikan oleh beliau sendiri sebagai Pengerusi BN negeri dan Pengerusi PH negeri Datuk Seri Mujahid Yusof dengan memberi tumpuan kepada hala tuju Kerajaan Perpaduan Negeri Perak.

“Ia disusuli sesi perbahasan oleh wakil-wakil daripada semua parti yang akan mengupas intipati ucapan dasar bagi membolehkan percambahan idea dalam usaha mengukuhkan agenda bersama dalam memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Sebanyak dua forum utama iaitu Forum Kerajaan Perpaduan – Perspektif Orang Muda dan Forum Perpaduan Mengangkat Agenda Perak Sejahtera 2030 juga akan dijalankan dengan menampilkan ahli panel dari semua parti kompenan Kerajaan Perpaduan.

“Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menghadiri sesi penggulungan dan kedua-duanya dijadual berucap bagi menyempurnakan majlis penutup konvensyen,” ujar beliau.

Saarani turut memaklumkan penyertaan konvensyen ini hanya dibuka kepada pimpinan dan ahli yang ditentukan oleh parti-parti komponen berdasarkan kuota yang telah diputuskan, manakala hanya perwakilan yang mempunyai pas kebenaran sahaja akan dibenarkan memasuki dewan konvensyen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.