JPM Akan Kaji Pelaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap – Azalina

JOHOR BAHRU, 14 Jan – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci bagi pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap termasuk kajian impak (impact study) selain mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dapatan kajian yang menyeluruh itu akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Beliau berkata, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan berkaitan pengenalan akta itu juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“BHEUU menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Ia juga juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.

“Jadinya, pada tahun ini, BHEUU akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, supaya kajian menyeluruh ini akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan satu undang-undang khusus perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya, kata Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, dengan undang-undang itu jika diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Dalam pada itu, Azalina berkata, usaha penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Kerajaan Perpaduan bukan satu langkah terdesak.

Namun, katanya, ia mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Akta Parlimen Berpenggal Tetap menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya. – BHarian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.