Kagum Komitmen Peserta Bengkel Pemukiman KKDW 2024

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kagum dengan komitmen yang ditunjukkan peserta Bengkel Pemukiman 2024 kementerian itu yang berakhir hari ini.

Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, semua peserta berusaha bersungguh-sungguh bagi memberikan hasil yang terbaik.

“Saya amat kagum melihat komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta dari pelbagai peringkat jawatan, tidak kira jabatan atau agensi semuanya sangat bersungguh untuk memberikan hasil yang terbaik demi kelebihan rakyat.

“Ada juga yang masih berbincang sehingga awal pagi bagi melahirkan hasil dapatan yang terbaik,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Ulasnya juga, setelah tiga hari beliau berkampung bersama-sama peserta Bengkel Pemukiman KKDW 2024, hari ini beliau mendengar dapatan kumpulan dan memberikan rumusan untuk dirangkum sebagai panduan bagi gerak kerja, ‘game-changer’, indeks prestasi utama (KPI) dan ‘quick-wins’ kementerian.

Jelas Ahmad Zahid lagi, selepas memperhalusi pembentangan dari enam kumpulan pagi tadi, 62 cadangan telah dikemukakan.

“Satu sekretariat khas akan meniliti semua cadangan-cadangan ini untuk proses pelaksanaan.

“Inilah cara kami di kementerian untuk duduk bersama pada awal tahun bagi membentuk hala tuju baharu demi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga di perdesaan,” tekadnya.

Justeru, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada semua 238 orang peserta Bengkel Permukiman KKDW 2024 pada kali ini di atas komitmen dan kerjasama sepenuh hati dalam memberikan output yang terbaik dari hari pertama hingga hari ketiga bengkel ini berlangsung.

“Insya-Allah, cadangan-cadangan ini akan saya bawa dan bentangkan juga semasa Bengkel Permukiman Jemaah Menteri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Buat rakyat Malaysia, demi kemakmuran,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.