Pengalaman Luas, Komitmen Warga KKDW Mampu Tambah Baik Kementerian

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keyakinan beliau dengan warga kerja KKDW dalam melaksanakan peranan terbaik mereka terhadap kementerian tersebut.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian menerusi hantaran Facebook selepas menghadiri Bengkel Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun 2024.

Bengkel tersebut adalah kesinambungan daripada bengkel strategik yang dilaksanakan kementerian setiap tahun bagi mencungkil lebih banyak potensi baharu yang boleh dijuarai oleh KKDW bagi meningkatkan kualiti hidup warga desa.

“Saya yakin, dengan pengalaman luas dan komitmen sepenuhnya dimiliki oleh warga KKDW secara keseluruhannya pastinya dapat memberikan idea-idea baharu yang boleh diketengahkan dalam usaha mentransformasi dan menambahbaik ekosistem di KKDW seterusnya dibawa dan dibentangkan ke Permukiman Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 17 hingga 19 Januari nanti,” katanya.

Ahmad Zahid pada masa sama berkata hasil daripada permukiman yang sama diadakan pada tahun lalu telah menyaksikan KKDW berjaya melaksanakan 39 program game-changer meliputi modal insan, ekonomi, infrastruktur, keusahawanan dan sistem penyampaian termasuklah transformasi program TVET@KKDW secara keseluruhan.

“Saya menyatakan kepada semua peserta permukiman bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu adalah sukar, tetapi untuk mengekalkan kejayaan tersebut jauh lebih sukar.

“Oleh itu saya mengharapkan agar permukiman kali ini bukan sahaja mampu membawa kejayaan sepertimana tahun lalu, tetapi saya mahukan kejayaan yang lebih cemerlang lagi dari sebelumnya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.