Pemuda UMNO Johor Gerakkan Sukarelawan, Fokus Kerja-kerja Pasca-Banjir – Azleen Ambros

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menggerakkan sukarelawan dari seluruh bahagian di negeri ini bagi menjayakan misi bantuan banjir yang sedang melanda di beberapa buah daerah utama termasuk daerah Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata misi bantuan kali ini akan memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan serta lain-lain bentuk bantuan sukarelawan berkaitan pasca-banjir dengan matlamat meringankan beban mangsa yang terlibat agar dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti sedia kala.

“Seramai 1,300 orang akan digerakkan bagi menjayakan misi kali ini di beberapa buah kawasan Parlimen yang teruk dilanda musbibah banjir kali ini, termasuklah di Parlimen Kluang, Kota Tinggi, Tenggara dan Tebrau.

“Sukarelawan adalah terdiri daripada jentera Pemuda UMNO daripada setiap bahagian yang akan mula digerakkan pada Sabtu dan Ahad ini iaitu pada 13 dan 14 Januari 2024. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh akan turut bersama sukarelawan pada Ahad, 14 Januari 2024.

“Di samping itu, Pemuda Johor akan turut membantu mengedarkan barang-barang keperluan asas utama Termasuklah pakaian, bantal, tilam, selimut, bakul makanan dan kit kebersihan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuklah daripada Kementerian Pertahanan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyantuni mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Mersing baru-baru ini. Seramai 8,257 mangsa terjejas di seluruh Johor, kini berlindung di 55 buah PPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa lokaliti di Pahang dan Johor. Kenyataan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.