Komplot ‘Langkah Dubai’… Langkah Terdesak Pembangkang Bantutkan Usaha Kerajaan Perpaduan – Zaim Tawfek

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Komplot gerakan ‘Langkah Dubai’ disifatkan sebagai paling terdesak pihak pembangkang ingin menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ahmad Zaim Ahmad Tawfek.

Ini kerana katanya jelas menunjukkan pembangkang sangat terdesak untuk berkuasa semula serta mengganggu kerajaan bagi terus berkerja membangunkan negara dan rakyat.

”Langkah Dubai merupakan satu langkah yang terdesak daripada pihak pembangkang untuk memperlihatkan bahawa mereka masih lagi relevan dalam konteks politik negara.

“Seharusnya, isu seperti ini tidak perlu timbul kerana ianya hanya akan mengganggu usaha Kerajaan Perpaduan untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada negara-negara asing dan membuktikan bahawa negara ini adalah stabil dan kukuh.

“Sekiranya perkara ini bukan daripada pihak pembangkang ataupun strategi ‘wag the dog’ daripada sesetengah pihak maka ia seharusnya dihentikan walau apa-apa alasan sekalipun,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, beliau turut bersetuju kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kestabilan dan kebajikan rakyat harus didahulukan.

“Benar… saya sangat bersetuju dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa pada masa sekarang ini harus ditumpukan untuk membantu negara menjaga kestabilan kerajaan sekaligus menjaga kebajikan rakyat.

“Permainan politik harus segera dihentikan dengan kadar segera. Agenda kebajikan rakyat harus diangkat dan keperluan rakyat harus diutamakan dahulu bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup berterusan,” katanya.

Pada masa yang sama tambah Zaim lagi, drama-drama politik Malaysia pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini seharusnya perlu diredakan dengan segera.

“Suhu politik negara perlu ‘disejukkan’ bagi mengelakkan ketidakstabilan dalam negara. Kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang seharusnya memainkan peranan yang signifikan khususnya dalam sistem demokrasi.

“Hanya dengan cara sistem semak dan imbang dalam negara mampu untuk berfungsi dengan baik bagi memastikan demokrasi kekal subur dalam usaha menjaga kestabilan politik,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.