HAWA Dan Persatuan STEM Jalin Kerjasama, Fokus Pembangunan Wanita Dan Keluarga

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (HAWA) berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan dalam memperkasa bidang tersebut dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pengerusi Hawa, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pihaknya akan menjadi penghubung di antara Persatuan STEM dan kerajaan bagi memanfaatkan kepakaran dimiliki persatuan tersebut.

“HAWA sebagai penyambung di antara kerajaan dan rakyat sudah menjadi keutamaan kita untuk mengetengahkan isu-isu yang penting bukan hanya untuk rakyat tetapi untuk kerajaan juga.

“Kami melihat STEM ini adalah satu area di mana memerlukan perjuangan yang lebih efektif kerana masa hadapan Malaysia sebenarnya tertakluk dan terdiri kepada pembangunan STEM terutama dalam kalangan wanita dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan julung kalinya daripada Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Prof Emeritus Datuk Dr Noraini Idris.

Shahrizat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata pertemuan tersebut membawa manifestasinya yang tersendiri apabila pelbagai perancangan akan dilaksana bagi memberikan pendedahan berkenaan kepentingan bidang STEM untuk manfaat negara.

“Kami di HAWA berasa amat teruja kerana Dr Noraini membuat sesi pengenalan apabila dapat berjumpa jadi rasa amat teruja dan kita telah bersetuju akan ada kolaborasi HAWA bersama-sama dengan persatuan STEM di bawah kepimpinan Dr Noraini.

“Kolaborasi di antara kedua-dua kami ini dengan kepakaran dan kebijaksanaan insya-Allah saya harap akan ada ‘game changer’ di dalam bidang STEM nanti.

“Jadi untuk STEM ini kita akan amanahkan kepada Datuk Haryaty Hamdzah. Beliau adalah Ahli Majlis HAWA dan di berada di bawah fokus digital dan teknologi,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan perancangan awal HAWA bersama Persatuan STEM Kebangsaan ini beliau berkata program kesedaran akan menjadi intipati utama kepada kolabari tersebut.

“Asasnya mesti ada program kesedaran sebab saya nampak bahawa sepatutnya STEM ini dimula lama tetapi pada pertengahannya macam tidak menjadi keutamaan. Jadi kita akan mula dengan program kesedaran sebab kita mempunyai pihak berkepentingan yang ramai di bawah HAWA bagi membawa mesej daripada persatuan ini

“Selepas itu kita laksana program dengan memilih satu dua program yang khusus bersama pakar yang mana kita harap akan membawa impak kepada polisi dan perundangan negara dalam bidang STEM.

“Persatuan ini pula mereka ada pakar mempunyai kebijaksanaan yang ada, kemahiran dan pengetahuan jadi kita akan bantu mereka untuk merumuskan resolusi kemudian kita akan ketengahkan kepada kerajaan untuk STEM ini mendapat perhatian yang sewajarnya terutama melalui Kementerian Sains Dan Inovasi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.