Dokumentari Netflix ‘Man On The Run’ Bersifat Berat Sebelah, Fitnah… Pemuda UMNO Gesa SKMM Ambil Tindakan


KUALA LUMPUR, 12 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran dokumentari berjudul ‘Man on the Run’ yang kini sedang ditayangkan di saluran Netflix.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, setelah menonton dokumentari ini, Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan ia sebagai sebuah dokumentari yang berat sebelah, dan lebih bersifat propaganda berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.

“Tanpa mahu menafikan isu kebebasan media mahupun kebebasan bersuara yang dimaktubkan, Pemuda UMNO Malaysia melihat kandungan dan kupasan menerusi wawancara yang dibuat terhadap beberapa pihak dalam dokumentari ini telah menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah – sekaligus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan.

“Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Datuk Seri Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya dan Kelvin Morais.

“Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk ‘trial by media’ tatkala Dato Sri Najib Razak masih berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah, dan mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi yang negatif ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Tegas Dr Akmal, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan, dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa YB Menteri komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari terbabit secepat mungkin.

“Hakikatnya, setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah.

“Pemuda UMNO Malaysia sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi. Maka atas prinsip inilah, Pemuda UMNO Malaysia menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, sepertimana yang telah dimaktubkan di dalam nas perundangan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA PEMUDA UMNO MALAYSIA BERKAITAN DOKUMENTARI NETFLIX ‘MAN ON ATHE RUN’

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.