Banjir: Azalina Sifatkan Pasukan Penyelamat Wira Dan Wirawati Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ketua Penerangan UMNO merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said merakamkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir termasuk menyelamatkan mereka ketika hujan lebat melanda beberapa hari lalu.

“Mereka sentiasa ada. Merekalah wira dan wirawati rakyat. Membantu ketika diperlukan dan menjaga keselamatan kita sepanjang masa banjir melanda.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bersama-sama dalam membantu mangsa banjir,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu meluahkan kesyukuran apabila keadaan banjir di beberapa kawasan di Pengerang kembali surut.

Azalina berkata rentetan daripada itu pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sebelum ini akan ditutup selepas keadaan di kawasan beberapa kawasan tersebut beransur pulih.

“Alhamdulillah. Saya dimaklumkan sebentar tadi air sungai dan paras air di kawasan perumahan telah pun surut sekitar kawasan Pengerang.

“Maka hari ini dua PPS yang telah dibuka untuk mangsa banjir baru-baru ini akan ditutup dan penduduk telah mula beransur pulang ke rumah masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan baik apabila jumlah mangsa banjir di Johor hanya bertambah 10 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata pagi ini, mangsa banjir yang dicatatkan adalah seramai 7,619 orang membabitkan 2,083 keluarga berbanding 7,609 orang daripada 2,078 keluarga malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat jam 8 pagi ini, semua mangsa banjir itu ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh daerah terjejas banjir di negeri ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.