Tumpu Perkuat UMNO Sabah Sebelum Fikir Soal Gabungan Dengan Parti Lain – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 10 Jan – UMNO Sabah terlebih dahulu akan mengambil langkah untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat sebelum memikirkan soal kerjasama bersama parti gabungan lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata untuk tujuan ini UMNO Sabah akan mengadakan siri jelajah ke seluruh bahagian di negeri ini bermula awal Februari nanti.

“Kita beri keutamaan terlebih dahulu soal kekuatan parti, siri jelajah ini akan memantau dan melihat sendiri kekuatan parti dari segi persediaan di samping menjelaskan isu-isu semasa kepada ahli di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui di pejabat Perhubungan UMNO Sabah kelmarin.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas isu kerjasama bersama gabungan parti lain bagi menghadapi PRN akan datang selain dikaitkan dengan isu pergolakan UMNO Sabah.

Menurut Bung, UMNO Sabah mengalu-alukan soal kerjasama bersama parti gabungan yang lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain iaitu bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tapi juga rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Kita banyak belajar dari proses gabungan sebelum ini jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah, maka untuk mengambil sebarang keputusan yang penting sekarang, UMNO Sabah perlu diperkuatkan dahulu,” jelas Bung.

Tambah Bung, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan soal gabungan dengan parti lain iaitu hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

“Kita tunggulah selepas pembubaran dan UMNO Sabah mengakui memang ada parti lain yang berminat untuk bergabung bersama tapi semua ini akan kita muktamadkan selepas DUN Sabah bubar dan bergantung kepada persefahaman, kesetiaan dan keikhlasan untuk memperjuangkan masa depan rakyat Sabah,” katanya.

Ketika diminta mengulas isu pergolakan UMNO Sabah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga tular di beberapa portal, Bung berkata Ahmad Zahid sudah menjelaskan lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini atas urusan lawatan kerja rasmi dan tidak berkaitan dengan isu menyelesaikan pergolakan UMNO Sabah seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

“Menjadi rutin apabila Presiden parti ke Sabah beliau (Ahmad Zahid) akan mengambil peluang berjumpa dengan pemimpin UMNO Sabah dalam majlis ramah mesra selain membincangkan isu-isu semasa terutamanya persediaan parti menghadapi PRN akan datang,” jelas Bung.

Sehubungan itu Bung mengajak seluruh ahli UMNO Sabah agar tidak mudah mempercayai isu pergolakan yang dicetuskan oleh pihak lain yang bertujuan untuk melemahkan kesatuan UMNO di negeri ini.

“Sebagai pemimpin dan ahli UMNO kita lebih tahu apa yang berlaku di dalam rumah kita sendiri, abaikan cakap-cakap kosong yang hanya persepsi dari luar iaitu tujuannya melemahkan kita malah tumpuan kita ialah kepada bersatu perkuatkan jentera parti di semua peringkat,” tegas Bung lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.