Noraini Santuni Mangsa Banjir Di Johor, Beri Bantuan Keperluan Asas

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Johor.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terlebih dahulu ke PPS Dewan Kampung Murni Jaya, Kulai beramah mesra dengan mangsa banjir di samping memberikan bantuan keperluan harian bagi meringankan beban mereka yang ditimpa bencana alam ini.

“PPS Dewan Kampung Murni Jaya ini menempatkan seramai 23 buah keluarga berjumlah 86 orang mangsa-mangsa bencana banjir dari Kampung Sungai Siam, Kampung Sungai Besoi, Kampung Sungai Sayong, Kampung Sri Muar dan Murni Jaya.

“Saya juga berkesempatan beramah mesra bersama mangsa banjir sekaligus menyerahkan kit makanan kepada mereka.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor turut menyediakan aktiviti-aktiviti bukan sahaja kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga turut serta bagi mengisi masa lapang di PPS,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor merangkap ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail; ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain; Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kulai, Mohd Fahmi Salam dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Mohamad Hapil.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong pada ziarah tersebut turut sama mendoakan kesejahteraan buat mereka dan berharap urusan kesemua mangsa dipermudahkan.

“Semoga Allah swt permudahkan segala urusan mangsa-mangsa banjir dan semua agensi pengurusan bencana di daerah Kulai ini serta seluruh Negeri Johor. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan bagi mangsa-mangsa banjir ini,” ujar beliau.

Beliau juga turut sama berkesempatan menyertai rombongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Kota Tinggi.

“Kami bersama rombongan TPM ke Sesi Serahan Sistem Penapisan Air Mudah Alih oleh Presiden/CEO Kumpulan FASc Datuk Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad kepada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed. TPM juga turut mendengar penjelasan mengenai sistem penapis air mudah alih daripada pihak SIRIM.

“Selepas itu, kami terus ke Sungai Bang bersama TPM dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk melihat sendiri keadaan paras air sungai tersebut,” katanya.

Rombongan tersebut seterusnya ke PPS Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya bagi mendengar sendiri taklimat banjir yang melanda di kawasan dan penempatan mangsa banjir di PPS tersebut.

“Di sini setakat jam 10 pagi (semalam) telah ditempatkan seramai 382 orang mangsa banjir daripada 111 buah keluarga. TPM juga mendengar taklimat yang diberikan dan mengambil peluang beramah mesra dengan mangsa yang berada di PPS tersebut,” ujar beliau.

Setakat pagi ini fenomena air pasang besar di daerah Kota Tinggi menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 8,221 mangsa ditempatkan di 53 PPS yang dibuka seluruh Johor.

Jumlah itu melibatkan seramai 2,275 buah keluarga dan menunjukkan peningkatan berbanding seramai 7,965 mangsa daripada 2,201 keluarga pada pukul 9 malam, semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.