Menang Sorak Kampung Tergadai, Azhari Anggap Langkah Dubai Tak Masuk Akal

KUALA LUMPUR, 10 Jan – “Sememangnya tidak masuk akal digembar-gemburkan tentang Langkah Dubai kerana pada saya kalau ada strategi yang begitu besar begini tidak kecoh satu kampung sebelum kita hendak lakukan strategi itu.

Demikian reaksi diberikan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang juga menyifatkan langkah tersebut seperti menang sorak kampung tergadai dan tin kosong.

Beliau malah berkata langkah tersebut sebagai langkah sumbang kerana tidak membawa manfaat kepada rakyat dan hala tuju negara.

“Bagi saya langkah dubai ini langkah sumbang tidak akan ke mana-mana.

“Sebaiknya rakyat beri tumpuan kepada inisiatif kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba sehabis baik untuk meringankan bebanan rakyat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari juga turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa perkara paling penting pada ketika ini adalah menggalakkan lebih banyak pelaburan ke dalam negara bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Seterusnya kata beliau ia akan merancakkan ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan sekali gus mengurangkan pengangguran dan inflasi.

“Seperti TPM kata tumpulah kepada masalah ekonomi negara, pelaburan dan kebajikan rakyat. Itu sebenarnya ahli-ahli politik seharusnya beri tumpuan dan kepada pihak pembangkang sepatutnya menjadi semak dan imbang kepada apa juga dasar-dasar kerajaan bukannya membuat satu gerakan-gerakan yang akan memberi banyak kesan buruk kepada negara

“Cukup-cukuplah apa yang telah berlaku sebelum ini di mana satu penggal tiga kali tukar kerajaan maka kali ini kalau berlaku sekali lagi saya rasa rakyat akan menjadi mangsa kepada keadaan yang lebih teruk lagi. Cukuplah pengalaman terdahulu ia tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak ,” ujar beliau.

Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan yang didakwanya menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Penjelasan itu dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat berkenaan ketika gerakan dinamakan Langkah Dubai yang dikaitkan dengan usaha mengambil alih Putrajaya. – UMNO Onlina

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.