Kes Sulu: Ambil Iktibar… Azalina Jalankan Tanggungjawab Dengan Sebaiknya – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada kes Sulu di atas kejayaan negara memenjarakan penimbang tara ‘tidak beretika’ Dr Gonzalo Stampa.

Jelasnya, tuntutan tersebut dibuat di mahkamah timbang tara Sepanyol pada mulanya namun ditolak dan dibawa ke tempat lain menjadikan ia sesuatu tindakan yang menongkah arus.

“Arbitrator Stampa di Sepanyol ini menggunakan puak Sulu untuk kepentingan diri sendiri dan meraih keuntungan. Pada asalnya, tuntutan ini dibuat di mahkamah timbang tara Sepanyol tetapi ditolak.

“…dan Stampa membawa kes ini ke Perancis. Sepatutnya tidak boleh dan sebab itulah dikatakan bahawa Kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat aduan di Mahkamah Sepanyol.

“Aduan tersebut dilakukan dengan mendakwa Stampa melanggar etika perundangan dan arbitrasi dengan membawa kes ini ke tempat lain padahal pada ketika itu beliau digantung daripada menjalankan tugas,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kumpulan Malaysia yang diketuai oleh Azalina itu mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang sehinggakan Stampa dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan.

“Jadi dalam hal ini, pengajaran yang penting adalah sekiranya tidak ada aduan daripada Malaysia ini, berkemungkinan Stampa akan bermaharajalela. Kumpulan yang diketuai oleh Azalina, mempunyai kepakaran dan sebab itu kita berjaya dalam kes ini sehingga Stampa dihukum penjara enam bulan dan juga denda.

“Iktibar yang paling penting dalam cerita ini adalah kalau sesuatu jawatankuasa tersebut diketuai oleh orang berkepakaran maka kejayaan pasti kita akan kecapi. Terutamanya dalam isu yang membabitkan negara luar, perlulah adanya seorang ketua yang pakar dalam bidang berkaitan.

“Kalaulah bukan Azalina yang mengetuainya dan ianya dipimpin oleh orang tidak berkepakaran, mungkin kita tidak akan dapat keputusan seperti hari ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa sesebuah organisasi haruslah dipimpin dan diketuai oleh seseorang yang berwibawa, berpengalaman dan berkepakaran.

“Sebab itulah pentingnya, bukan sahaja kita ambil iktibar penipuan yang dikatakan kumpulan Sulu ini dipergunakan oleh individu tertentu seperti Stampa, tetapi juga dalam isu lain, ketua kumpulan tersebut mestilah berwibawa, berpengalaman dan berkepakaran.

“Ini adalah penting bagi menjaga tidak kira keselamatan, kedaulatan dan sebagainya. Kita ambil iktibar daripada kejayaan yang kita perlu akui bahawa Azalina telah menjalankan tungasnya dengan penuh teliti dan baik sekali,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan Penimbang tara ‘tidak beretika’ Gonzalo Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahkamah sama turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.