Kerjasama KKDW-FELDA Diperhalusi, Pastikan Keberkesanan Santuni Para Peneroka – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kerjasama kementerian bawah naungannya bersama FELDA dapat diperhalusi sebaiknya bagi memastikan keberkesanan dalam menyantuni para peneroka.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi antara KKDW dan FELDA bersama Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Pagi ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi antara KKDW dan FELDA. Turut bersama saya, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Shabery Cheek.

“Mesyuarat ini merupakan mesyuarat susulan daripada pengumuman Perdana Menteri ketika Hari Peneroka (7 Julai 2023) yang mahu saya meningkatkan pemantauan terhadap urusan FELDA dan lantas saya telah mengarahkan pihak KKDW memulakan sesi perbincangan dengan pihak FELDA memandangkan kawasan FELDA secara amnya berada kawasan perdesaan serta banyak kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan ke arah kemajuan FELDA,” katanya yang turut berkongsi perkara di sama di laman X.

Menurutnya yang juga Presiden UMNO itu, terdapat dua langkah susulan langsung yang mendapat perkembangan baik.

“Pada masa kini, dua langkah susulan langsung yang telah mendapatkan perkembangan baik seperti kos operasi dan selenggara bagi lampu jalan FELDA sebanyak RM7.7 juta akan mula disalurkan terus melalui peruntukan mengurus (OE) Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2024.

“Di samping itu, FELDA juga telah mendapat peruntukan sebanyak RM21 juta untuk membuka 12 Pusat Hemodialisis yang baru bagi menampung keperluan pesakit End-Stage Renal Disease (ESRD) di rancangan FELDA,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa pelbagai aspek merangkumi kerjasama KKDW dan FELDA akan diperhalusi sebaiknya.

“Selain itu, banyak kerjasama FELDA-KKDW baharu yang akan diperhalusi dalam pelbagai aspek seperti kemudahan infrastruktur, pemerkasaan TVET Felda, MRSM Ulul Albab Felda, Keusahawanan, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan banyak lagi.

“Tinggi harapan saya supaya bidang kerjasama strategik yang dicadang akan sentiasa diperhalusi secara bersama untuk kaedah pelaksanaan terbaik bagi memastikan keberkesanan dalam menyantuni kehidupan warga peneroka yang juga terdiri daripada masyarakat desa terjamin dan dipermudahkan urusannya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.