Dakwa Sudah Cukup SD… Shaiful Hazizy Cabar Sanusi Mula Gerakan Tukar Kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memulakan gerakan meruntuhkan kerajaan selepas beliau mendakwa Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai sokongan cukup.

Jelasnya, Sanusi diibaratkan seperti ‘pengembala kambing yang menipu orang kampung’ kerana selalu berdusta dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sanusi masih lagi dengan cerita dongeng dan palsunya bahawa konon konon sudah ada jumlah akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menjatuhkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri.

“Sanusi ini sebenarnya sudah boleh kita ibaratkan pengembala kambing yang menipu orang kampung mengenai serigala datang memakan kambingnya. Sekali dua orang percaya, kali ketiga orang sudah tidak percaya. Sama juga macam kes Sanusi, sudah terlampau banyak kali menipu, rakyat pun sudah naik muak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, cerita mengenai PN mahu menukar kerajaan seolah-olah menjadi acara wajib pada setiap bulan.

“Ini kerana cerita mengenai kerajaan PN mahu tukar kerajaan sudah acap kali dihebah-hebahkan. Seolah-olah sudah hampir menjadi perkara dan aktiviti wajib setiap bulan. Mungkin kali pertama orang percaya, tetapi kalau sudah kata SD cukup sejak bulan Ogos tahun lepas namun tiada apa jadi, siapa hendak percaya lagi?

“…yang kelakarnya, sekalipun hendak menipu, rancanglah baik-baik dengan rakan sekerja. Ini tidak, pejabat Ketua Pembangkang sudah menafikan Langkah Dubai. Tetapi Sanusi kata langkah itu sudah berjaya, dan dengan penuh berani mengeluarkan kenyataan ‘sudah cukup SD, tinggal tunggu hari’.

“Kalau betul SD sudah cukup, kalau betullah sokongan sudah ramai, saya cabar Sanusi untuk lakukan gerakan beliau sekarang, jatuhkanlah kerajaan sekarang, kenapa hendak tunggu lama-lama? Hendak pegang SD lama lama untuk apa, buat pekasam?” bidasnya lagi.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy beranggapan bahawa tidak ada seorang pun ahli Parlimen (MP) yang akan mempercayai ‘mind game’ yang sengaja cuba dicetuskan mereka.

“Sebab hakikatnya, ini adalah sekadar ‘mind game’ oleh Sanusi untuk mewujudkan rasa sangsi ahli Parlimen sesama sendiri. Tapi Sanusi lupa, dia sudahpun digelar kaki propa dan kaki menipu. Selalu sangat menipu, orang tidak akan percaya, orang tidak waras pun tidak mahu percaya cerita Sanusi.

“Saya yakin tiada satu pun MP yang akan terpedaya dengan ‘mind game’ Sanusi. Malah, apa yang berlaku sekarang jauh berbeza dari apa yang diperkatakan oleh Sanusi. Menurut MP Bukit Gantang, akan ada lagi tujuh ataupun lapan ahli Parlimen yang akan menyokong pentadbiran Perdana Menteri. Mudah kata, pentadbiran dan sokongan beliau yang semakin padu, sokongan terhadap PN yang semakin lemah.

“Akhir kata, lagi sekali saya cabar Sanusi untuk mulakan gerakan dan langkah dia untuk menukar kerajaan secepat mungkin. Kalau betul SD sudah cukup, kenapa mahu tunggu lama-lama? Buat sekarang, jangan buang masa,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci perkara tersebut termasuk berkaitan SD. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.