Ahmad Zahid Yakin Kestabilan Politik Menjamin Kemakmuran Dan Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa kestabilan politik dapat menjamin kemakmuran dan kemajuan negara.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, kerana itu jugalah perpaduan mestilah diutamakan dan menolak fahaman politik sempit yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Melalui kestabilan politik, banyak usaha kerajaan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat. Contohnya, hari ini saya berbesar hati meluncurkan tiga projek menaik taraf jalan luar bandar Kadamaian dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM244 juta di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Selain itu, atas dasar kepedulian dan memastikan tidak ada golongan sasar yang tercicir daripada menerima inisiatif kerajaan, saya juga melalui KKDW telah meluluskan sebanyak 40 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian,” katanya dalam satu hantaran di laman X.

Justeru tambah Ahmad Zahid, apa yang penting kepada beliau bukanlah sekadar pengumuman inisiatif dan projek pembangunan semata-mata, yang paling penting adalah ia perlu dilaksanakan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat khususnya masyarakat di Sabah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW pada Isnin, telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Krismas Kadamaian di Kota Belud.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Seterusnya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.

Beliau berkata negeri Sabah adalah contoh terbaik toleransi beragama dan pelbagai kaum dengan keunikannya yang tersendiri dan harus dipertahankan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.