Tak Sangka Tahap Menteri Besar Pun Sanggup Bermain Dengan Persepsi – SUA

KUALA LUMPUR, 8 Jan – “Tak sangka tahap Menteri Besar pun sanggup bermain dengan persepsi seolah-olah kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat.”

Demikian sindirian diberikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan kenyataan bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

“Apakah kenyataan seperti ini bertanggungjawab sedangkan kepimpinan PN pun menafikan ada sebarang gerakan seumpama itu?

“Apakah MB Kedah mahu mensabotaj ekonomi negara yang hari ini sudah melalui fasa pemulihan selepas mendapat keyakinan dan kepercayaan pelabur bahawa politik tanah air sudah stabil?

“Apakah MB Kedah mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan Barisan Nasional 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau kesemua dakwaan kewujudan SD ini hanyalah mainan persepsi ditimbulkan oleh Sanusi, malah Asyraf juga menyenaraikan tiga faktor berikut:

1. DYMM Yang DiPertuan Agong sudah berkali-kali menitahkan baginda tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar Kerajaan.

2. Pembangkang yang hanya tinggal 69 orang memerlukan 43 orang lagi untuk mencukupkan 112. GPS terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong PN kerana dalamnya ada parti ekstrim PAS. Ahli-Ahli Parlimen BN pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan.

3. Peluang terakhir untuk menukar Kerajaan adalah hanya melalui Usul Tidak Percaya di Parlimen. Kalaupun ada Ahli-ahli Parlimen yang menanda-tangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka. Mungkin sebab itulah Pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun berkali-kali YAB PM mencabar mereka melakukannya.

“Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini. Tunggulah empat tahun sahaja lagi untuk pilihan raya umum diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan,” ujar beliau.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

Kenyataan didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial juga adalah palsu.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi semalam mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan, namun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.