Sokongan Kepada Kerajaan Perpaduan… Sanusi Dinasihat Lupa Hasrat Tubuh Kerajaan ‘Mi Segera’ – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan agar melupakan hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan kerajaan ‘mi segera’ dan mengikut sahaja pendirian Pas untuk menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz bahawa tujuh hingga lapan lagi ahli parlimen PPBM akan menyokong Kerajaan Perpaduan diyakini benar.

“Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz mendedahkan bahawa terdapat tujuh hingga lapan lagi ahli parlimen PPBM akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang Parlimen Februari nanti.

“Dakwaan Syed Abu Hussin diyakini benar. Sebelum itu semasa bertemu dengan kawan-kawan rapatnya, beliau akan maklum sokong Anwar pada hari terakhir penggulungan Bajet 2024. Ternyata ia berlaku,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau yakin bahawa dakwaan yang ditimbulkan tersebut bukan hanya sekadar rekaan dan ianya munasabah.

“Justeru, cerita tujuh lapan ahli parlimen PPBM akan ikut jejak langkah lima yang lain diyakini bukan rekaan. Tujuh nama yang beliau sebut di majlis tertutup itu memang munasabah.

“Elok Sanusi lupakan hasrat untuk tubuh kerajaan ‘mi segera’. Ikut saja cakap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pas sanggup tunggu sehingga PRU ke-16,” katanya.

Pada 11 Disember lalu media melaporkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa terdapat tujuh hingga lapan Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) akan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

Beliau yang pada 28 Nov lalu mengisytiharkan sokongan kepada sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua Ahli Parlimen PN itu daripada beberapa negeri yang sememangnya dari kawasan majoriti Melayu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.